Pengumuman & Berita
 
  Pengumuman & Berita > Pengumuman Terkini > Koperkasa jalan aktiviti kebajikan di Rumah Amal Cheshire Sarawak
 

Koperkasa jalan aktiviti kebajikan di Rumah Amal Cheshire Sarawak

KUCHING: Sempena bulan Syawal ini, Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (Koperkasa) tidak ketinggalan dalam menjalankan aktiviti kebajikan apabila mengadakan lawatan khidmat kebajikan dan kemasyarakatan di Rumah Amal Cheshire Sarawak, Jalan Ong Tiang Swee di sini semalam.

Pengerusinya, Alif Bacha Madarshah berkata lawatan tersebut merupakan kali pertama Koperkasa dalam menjalankan aktiviti kebajikan.

“Kami berharap akan dapat meneruskan aktiviti sebegini pada tahun-tahun akan datang dan pastinya akan memilih Rumah Amal Cheshire Sarawak untuk disenaraikan dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut dengan beberapa ahli Koperkasa yang menyertainya telah mengagihkan makanan dan keperluan kepada para penghuni di situ.

Rumah Amal Cheshire Sarawak merupakan sebuah rumah kebajikan yang menempatkan golongan cacat dan kurang bernasib baik di negeri ini.

Kini, ia didiami seramai 67 golongan OKU daripada pelbagai bangsa dan agama, di mana kebanyakan daripada mereka tinggal secara tetap dan sesetengahnya secara harian.

Sementara, Pengerusi Pengurusan Rumah Amal Cheshire Sarawak Datin Lianney Chia berkata, pihaknya amat berterima kasih terhadap keprihatinan Koperkasa dan amat mengalu-alukan lawatan sedemikian pada masa akan datang.

“Lawatan Koperkasa ini telah memberikan keceriaan kepada para penghuni di sini terutamanya bagi mereka yang meraikan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Koperkasa yang majoriti keanggotaannya terdiri daripada kakitangan kerajaan kini mempunyai jumlah keahlian seramai 24,000 orang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Matron Rumah Amal Cheshire Sarawak Rev. Sr. Regina Lachau.

- Utusan Borneo online, Khamis 15 September 2011 - sila klik di sini -